HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

PRN Johor: Kaitkan PRN dengan kluster mahkamah ternyata tersasar – Shahril

MALAYSIA POST

PRN Johor: Kaitkan PRN dengan kluster mahkamah ternyata tersasar – Shahril

TINDAKAN beberapa pihak yang mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan ‘kluster mahkamah’ ternyata tersasar, tegas Ketua Penerangan Umno Shahril Suffian Hamdan.

Beliau menjelaskan, PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi tiada kena mengena dengan ‘pemisahan kuasa’ antara badan eksklusif dan badan kehakiman.

“Malah, bukankah pilihan raya suatu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri – yakni memberi mandat rakyat kepada badan legislatif? Tiada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah.

“Umno dan BN (Barisan Nasional) telah masuk gelanggang dalam hampir kesemua PRK (Pilihan Raya Kecil) dan PRN sebelum ini – tidak pula dikaitkan.

“Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan? Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahril Suffian berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad telah menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.

Katanya, sehubungan itu, ianya antara faktor yang telah dipertimbangkan pihak Istana Johor, Umno Johor, dan Kerajaan Negeri sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita terima keputusan ini dan berharap pilihan raya ini dapat memberi mandat baharu untuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan akan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Namun begitu, beliau mengingatkan semua pihak jangan sesekali merosakkan segala usaha memulihkan negara berikutan pandemik Covid-19.

“Umno juga yakin dengan institusi seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain, akan terus menyeimbangkan kemudahan urusan rakyat bagi memenuhi hak demokrasi dan keselamatan rakyat secara umumnya,” katanya. – Malaysiapost

Tiada ulasan: