HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Watikah bubar DUN Johor diserah kepada SPR

MALAYSIA POST

Watikah bubar DUN Johor diserah kepada SPR

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat mengumumkan warta kerajaan berhubung pembubaran DUN Johor, berkuat kuasa semalam.

Suhaizan berkata, watikah itu diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengambil tindakan susulan pembubaran DUN Johor.

“Warta ini memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mempunyai peruntukkan untuk membubarkan DUN Johor yang ke-14.

“Ia mengikut Fasal 23 Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895. Satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk,” katanya membacakan watikah pembubaran DUN Johor, di pejabatnya di Bangunan DUN Johor, hari ini.

Terdahulu, Suhaizan turut menyerahkan Warta Pemasyhuran Pembubaran DUN Johor kepada Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon di Pejabat Speaker.

Mengulas mengenai kedudukannya sebagai Speaker, Suhaizan berkata beliau masih menjalankan tugas berkenaan sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk dan pelantikan baharu dibuat.

“Saya masih lagi Speaker DUN Johor sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk dan Speaker baharu dilantik,” katanya.

Sementara itu, Nor Nekman berkata SPR Johor akan merujuk kepada ibu pejabat sebelum membuat persediaan termasuk mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Johor ke-15.

“Setakat ini kita masih belum ada tarikh bila mesyuarat urusan PRN Johor ke-15 akan diadakan.

“SPR Johor akan merujuk ibu pejabat dulu, termasuk memaklumkan penerimaan Warta Pemasyhuran Pembubaran DUN Johor yang diterima daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.

“Mesyuarat membincangkan urusan PRN Johor yang ke-15 terpulang kepada ibu pejabat bagi menentukan tarikhnya. Pengumuman akan dibuat nanti,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan menghadap Sultan Johor bagi memaklum sembah hasrat kerajaan negeri mengadakan PRN di Istana Bukit Serene, di sini, pada jam 5 petang semalam.- Malaysiapost

Tiada ulasan: