HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Januari 2022

Speaker serah warta mansuh DUN Johor kepada SPR

 BERNAMA

warta johor

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menyerahkan warta kerajaan mengenai pemasyhuran memansuhkan DUN Johor yang ke-14 bertarikh 22 Jan 2022 kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon, hari ini.

Dengan penyerahan warta kerajaan tersebut, Suhaizan berkata, secara langsung membolehkan SPR melaksanakan proses seterusnya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor.

“Saya telah terima surat pemakluman mengenai pemasyhuran itu pada pukul 10 pagi tadi, yang kemudiannya telah diwartakan.

“Jadi petang ini, saya serahkan dan maklumkan kepada SPR mengenai pemansuhan DUN Johor. Selepas ini, SPR akan melaksanakan proses seterusnya iaitu mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

Sementara itu, Nor Nekman berkata tarikh mesyuarat khas berkenaan PRN Johor akan diputuskan oleh SPR pusat. – BERNAMA

Tiada ulasan: