Tragedi Batu Burok: Suwandi, Azman tidak dibenar ikat jamin
Awang Harun
KUALA TERENGGANU (Hrkh) - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memutuskan mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok pada 8 September lalu, Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21, tidak dibenarkan ikat jamin.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Tuan Hassan Abdul Ghani pada jam 12.30 tengah hari setelah mendengar hujah daripada pendakwa yang diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak pembela yang terdiri daripada Mazlan Mohd Zain, Abdul Haris Malik dan Kamaruzaman Abdul Wahab.
" Jaminan tidak ditawarkan dan ditahan di penjara," ujarnya.
Suwandi dan Azman yang menghadapi empat pertuduhan iaitu pertuduhan pertama, pertuduhan pilihan kepada pertuduhan pertama, pertuduhan kedua dan pertuduhan pilihan kepada pertuduhan kedua mengaku tidak bersalah.
Di dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yng sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.
Pertuduhan pilihan kepada pertuduhan pertama iaitu menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 332 kanun yang sama dan sekiranya bersalah boleh dihukum dengan penjara untuk tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang dan telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah boleh dihukum tidak melebihi enam bulan atau denda atau ekdua-dua sekali.
Pertuduhan pilihan kepada pertuduhan kedua iaitu mereka didapati berada dalam satu perhimpunan haram dan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 (Akta 344) yang boleh dihukum di bawah seksyen 27(8) akta yang sama.
Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dihukum tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan penjara selama tidak melebihi setahun.
Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud adalah anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Tuan Hassan menetapkan hari perbicaraan pada 30 dan 31 Disember ini. Hadir sama mendengar mendengar keputusan itu ialah Setiausaha dan Bendahari PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali dan Haji Mohd Abdul Wahid Endut. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan