Nazri dan Umno – BN terdesak manipulasi isu Hindraf papar kebodohan sendiri.
KeADILan
Kuala Lumpur - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyifatkan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkhianati negara adalah satu bukti betapa Umno-BN kian terdesak memanipulasi isu Hindraf untuk mengalih pandangan rakyat.
Dalam satu kenyataan oleh Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa, kenyataan Datuk Seri Anwar mengenai pendirian beliau dan KeADILan ke atas tuntutan Hindraf yang dikeluarkan seawal 21 November sama sekali tidak mendapat liputan media, sebaliknya kenyataan ringkas beliau di Mumbai menjadi pertikaian umum mengikut tafsiran songsang media arus perdana.
Tambah Fariz, “Nazri jelas berfikiran sempit dan jumud, apabila cuba mengalihkan perhatian rakyat ke atas isu-isu yang lebih sensitif seperti penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes Lingam, isu kenaikan kadar tol, inflasi yang tidak terkawal, juga kebarangkalian harga petrol dinaikkan.”
Beliau juga berpendapat kini jelas terbukti Umno-BN menggunakan talian hayat mereka yang terakhir, iaitu sentimen perkauman untuk meraih kembali sokongan rakyat yang kian terhakis di sebalik kegagalan kerajaan Umno-BN membela rakyat.
“Hujah Nazri berkenaan strategi KeADILan meletakkan Tan Sri Khalid Ibrahim di DUN Ijok membuktikan menebalnya sentimen perkauman di pemikiran jumud beliau. KeADILan tidak melihat strategi tersebut sebagai satu penindasan ke atas pengundi India, sebaliknya inilah politik baru yang menyaksikan konsep perwakilan rakyat tidak perlu lagi berasaskan kaum dan agama, sebaliknya berpaksi kepada prinsip dan dasar yang mengutamakan keadilan sosial dan kepedulian rakyat.
“AMK yakin, dalam keadaan masyarakat Malaysia, tanpa mengira masyarakat India, Melayu mahupun Cina, sudah semakin masak dengan sepak terajang politik perkauman Umno, hujah Nazri ini hanya akan memalitkan lagi imej BN yang kian busuk dimamah ideologi perkauman usang,” ujar Fariz.
Malah, Fariz menyatakan secara sinis bahawa usaha menghenyak Anwar dan KeADILan ini hanya membuktikan bahawa imej Anwar & KeADILan sedang berada di satu tahap yang begitu membimbangkan Umno-BN.
“Terbukti, strategi BN ini bukan lagi ‘tradisi membela rakyat’, sebaliknya ‘tradisi membodohkan rakyat’ yang akhirnya memperlihatkan kebodohan BN sendiri yang semakin tersepit.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan