Hishamuddin Hussien disaran buka lembaran sejarah Dato Onn
KeADILan
Kuala Lumpur - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyarankan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin HussienKenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien memantapkan diri beliau dengan ilmu mengenai apa itu demokrasi, dan kembali membuka lembaran sejarah untuk belajar daripada tokoh Melayu terawal yang memperkenalkan budaya demonstrasi di kalangan rakyat Tanah Melayu, iaitu Almarhum Dato’ Onn Jaafar.
Dalam satu kenyataan media Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini, beliau menyifatkan Hishamuddin yang mengaitkan demonstrasi dengan penglibatan parti-parti pembangkang adalah satu kenyataan yang jelas menggambarkan kecetekan ilmu beliau sebagai seorang pemimpin sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.
“AMK melihat, di dalam amalan demokrasi, tidak wujud sebarang istilah ‘demonstrasi jalanan’, kerana demonstrasi dan perhimpunan aman itu sendiri adalah merupakan satu amalan yang bertepatan dengan roh demokrasi anutan Malaysia.
“Sayang sekali fakta ini menjadi kabur di hadapan pemimpin Umno-BN yang hanya tahu bahawa demokrasi itu adalah sekadar mengadakan pilihanraya, tetapi tidak kepada kebebasan berhimpun dan bersuara,” tegas Shamsul.
Beliau menambah, perhimpunan aman adalah amalan biasa di negara-negara maju dan membangun yang mengamalkan demokrasi, termasuklah Australia, News Zealand, England hatta Amerika Syarikat sendiri.
“Cuma di negara Islam Hadhari ini, ia menjadi janggal di mata pemerintah Umno-BN,” ujar Shamsul
Hishamuddin yang menggesa parti-parti pembangkang untuk menyatakan pendirian wajar menanyakan soalan yang sama kepada Naib beliau yang kerap terlibat dengan demonstrasi dan tunjuk perasaan sebaik sahaja berjaya dinobatkan Naib Ketua Pemuda Umno.
Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pendirian beliau bagi pihak KeADILan, demikian juga PAS melalui Presidennya Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang, tetapi kenyataan-kenyataan ini digelapkan media dan diputarkan mengikut nafsu politik pemerintah.
“Rakyat tidak pernah lupa dengan aksi jalanan Pemuda Umno sewaktu membantah kehadiran Condoleeza Rice pada Julai 2006, sewaktu Pilihanraya Kecil DUN Ijok pada Mei 2007, dan tidak ketinggalan usaha ’solidariti’ pemuda Umno pimpinan Naib Ketua Pemudanya sewaktu bersama-sama membantah junta tentera Myanmar yang dianjurkan oleh 14 NGO belia dan parti politik pada 1 Oktober 2007 lepas,” jelas Shamsul.
AMK, pada hemat Shamsul percaya, parti-parti pembangkang termasuklah KeADILan tidak akan gentar menyatakan sokongan kepada mana-mana rakyat untuk melaksanakan hak demokratik mereka untuk berhimpun secara aman untuk menyatakan pendapat mereka tanpa sebarang provokasi pihak pemerintah.
Beliau juga mengharapkan agar Hishamuddin tidak menyesal menjadi cucu Dato’ Onn Jaafar di sebalik penentangan beliau ke atas hak demokratik rakyat untuk berhimpun secara aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan