HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Disember 2007

Pecat Pekerja Sertai perhimpunan, Rahman Bakar Bersikap Jahil.

KeADILan

Kuala Lumpur - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Abdul Rahman Bakar yang menyatakan bahawa majikan boleh mengambil tindakan tegas termasuk membuang pekerja yang terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Hindu Rights Action Force (Hindraf) di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Begitulah mesej yang disampaikan Khairul Anwar Ahmad Zainuddin, Naib Ketua Angkatan Muda, dalam kenyataan media yang diperoleh Suarakeadilan.com hari ini.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa kerajaan sanggup mengabaikan kebajikan golongan pekerja hanya kerana mereka melaksanakan hak demokratik mereka sebagaimana yang dibenarkan melalui Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“AMK melihat, sudah wujud satu keadaan apabila Barisan Nasional (BN) terdesak, mereka akan menggunakan seluruh upaya termasuklah memanipulasi pihak polis, dan kini golongan majikan untuk berterusan menekan rakyat supaya berterusan dijangkiti ’sindrom bisu dan lesu’ untuk menentang ketidakadilan pemerintahan kerajaan BN,” tegasnya lagi.

Pada hematnya, tindakan Rahman Bakar jelas menunjukkan yang beliau jahil tentang hak asasi sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tulang belakang kepada sistem perundangan Malaysia.

Menurut Khairul, tindakan beliau yang hanya bersandarkan kepada Akta Pekerja 1955 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1997 dilihat jelas bersifat ultra vires dengan Artikel 10 Perlembagan Persekutuan yang terang-terangan membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

“AMK menggesa agar pihak majikan tidak tunduk kepada gesaan kerajaan yang jelas tidak demokratik, di samping golongan pekerja perlu bingkas bangkit menyatakan hak mereka secara aman dan terbuka.”

Tiada ulasan: