HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Disember 2007

Anak Adun mati ditikam, model ditahan polis

KOTA KINABALU: Azlan Amir, anak lelaki wakil rakyat Sabah Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, ditemui mati dengan beberapa kesan luka akibat ditikam di rumah tunangnya di sini.

Pemangku Ketua Polis Bandaraya Supt Rowel Marong berkata polis menahan tunang mangsa, seorang model berumur 21 tahun, bagi membantu siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai bunuh.

Polis tidak menolak kemungkinan lebih seorang suspek terbabit dalam kes itu, katanya hari ini.

Terdahulu, Amir iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Banggi, berkata beliau bergegas dari Kudat pagi ini selepas dimaklumkan mengenai insiden itu oleh isterinya yang menerima berita itu menerusi panggilan telefon daripada ibu tunang Azlan kira-kira 7 pagi.

Mayat anak lelakinya yang berusia 24 tahun itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini sebelum 8 pagi oleh ibu tunangnya itu, katanya kepada pemberita.

Amir berkata beliau tidak tahu bilakah Azlan meninggal dunia memandangkan lukanya sudahpun dibersihkan manakala pakaian yang dipakainya sudahpun diganti semasa dia dibawa ke hospital.

Beliau berkata ibu tunang Azlan membuat laporan di Balai Polis Karamunsing kira-kira 10 pagi dan menurut laporan itu, Azlan mungkin membunuh diri dengan menggunakan kepala tali pinggang.

Bagaimanapun, katanya, seorang anggota keluarga beliau memberitahu terdapat kesan kecederaan pada kepala, bahu dan lengan serta calar-calar pada paha Azlan.
Dia mungkin dipukul, kata Amir.

Amir berkata Azlan, seorang pelajar kulinari, adalah anak ketiga daripada lima beradik.

Kereta jenazah yang membawa mayat Azlan dilihat meninggalkan Jabatan Forensik hospital kira-kira 6.45 petang.

Mayatnya akan dikebumikan berhampiran Monumen Mustapha di Putatan. BERNAMA

Tiada ulasan: