HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Disember 2007

Goh Kian Guan – Ketua Mafia Sabah

Catatan: Team Malaysia Today telah mengadakan pemantauan operasi seorang Mafia terkenal, Datuk Seri Panglima Goh Kian Guan @ Goh Swee Hing sejak enam bulan lalu setelah menerima maklumat daripada beberapa responden yang dipanggil sebagai ‘Deep Throat’ mengikut serial. Rencana ini berdasarkan realiti dan bukannya rekaan, namun oleh kerana sistem perundangan kita korup dan rosak, maka Malaysia Today terpaksa merahsiakan identiti Deep Throat yang sanggup menggadai nyawa membawa Krew Malaysia Today meninjau lokasi strategik yang meyakinkan bahawa Goh adalah Ketua Mafia di Sabah. Pandangan dan pendapat yang disuarakan oleh Deep Throat-Deep Throat berkenaan tidak semestinya pendapat Malaysia Today.

Goh Seorang Selebriti

Datuk Seri Panglima Goh Kian Guan @ Goh Swee Hing yang menjadi kontroversi di Majlis Kurniaan Pingat Kebesaran Negeri Sabah di Istana Negeri pada 27 Oktober 2007 merupakan tokoh yang paling dikenali di Labuan, melebihi populariti Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dari pejalan kaki sehinggalah mereka yang memandu Mercedes mata belalang, nama Datuk Seri Goh bagaikan selebriti yang bukan sahaja dikenali ramai, malah digeruni kerana dianggap tokoh Mafia yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Goh telah bernikah dengan Tan Mui Wah atau lebih dikenali sebagai Ah Lai, seorang Sino Kadazan dari Kuala Penyu, Sabah sekitar tahun 1970-an. Mereka dikurniakan empat orang anak lelaki masing-masing Goh Sin Liong, Goh Sin Yee, Goh Sin Han dan Goh Sin Yap.

Selain Goh, dua daripada empat anaknya telah menerima pingat Dato’ masing-masing Goh Sin Liong (35) dan Goh Sin Yee (34) daripada Sultan Pahang, manakala Goh Sin Han (30) menerima pingat Jaksa Pendamai (J.P) dan seorang lagi anaknya, Goh Sin Yap (28) tidak memiliki sebarang pingat.

Walaupun isteri Goh, Datin Seri Tan Mui Wah, berketurunan Sino-Kadazan, namun saudara-maranya cuba menghindari mereka kerana semua tahu mereka terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat dan menjalankan perniagaan yang berbahaya.

Pemandu Teksi

Sebelum dikenali dalam kerjaya barunya, Goh atau lebih dikenali penduduk Labuan sebagai Ah Hing, merupakan seorang pemandu teksi di Lapangan Terbang Labuan yang kais pagi belum tentu makan petang kerana tabiatnya yang suka berjudi.

Semua pemandu teksi di Lapangan Terbang Labuan kenal siapa Goh kerana mereka pernah makan sepinggan berkongsi penderitaan masing-masing sebagai pemandu teksi.

Namun tuah ayam nampak di kaki, tuah Goh nampak pada keberaniannya yang luar biasa kerana akibat daripada perkenalannya dengan ramai orang semasa memandu teksi, Goh mula dijadikan ‘kaki’ oleh sindiket penyeludupan antarabangsa atau ‘submarin’ sehinggalah berjaya membuka Kedai Kopi Seng Soon.

Kedai Bebas Cukai

Kesusahannya bertali-arus menyebabkan Goh merasakan dirinya tidak bebas lalu menjual perniagaan kedai kopinya dengan harga yang murah tetapi kegiatan ‘penggubahan wang haram’ yang dijalankan di kedai kopinya menyebabkan beliau berjaya mengumpul lebih RM3 juta iaitu melalui kegiatan penyeludupan.

Enaknya hidup dengan wang bertimbun di dalam bank tanpa kerja keras menyebabkan Goh memikirkan perniagaan yang mempunyai hubungan langsung dengan kegiatannya lalu menubuhkan sebuah kedai bebas cukai, Seng Soon Trading Sdn.Bhd dengan modal berbayar RM2.5 juta yang dimiliki secara bersama oleh keluarganya iaitu Goh Sin Han, Hong Siang Yin, Tan Mui Wah, Goh Sin Liong, Goh Kian Guan @ Goh Swee Hing, Goh Sin Yee, Sharon Ester Duawal, Lee Chui Hua, Goh Sin Yap dan Junita Moguring yang masing-masing memegang ekuiti RM250,000 setiap seorang.

Kedai Bebas Cukai (pemborong rokok dan minuman keras) milik keluarga Goh, Seng Soon Trading Sdn.Bhd yang terletak di Lot 7, Blok F, Bangunan Komersil Saguking, bersebelahan Alliance Bank Berhad iaitu berhadapan Terminal Feri Lama Labuan kelihatan lengang tanpa pengunjung.

Pemerhatian selama satu bulan oleh Team Pemantau Malaysia Today mendapati kedai berkenaan hanya dikunjungi oleh 42 pelanggan dan hanya dibuka pada jam 9 pagi tetapi tirainya dilabuhkan agar tidak ada pihak yang melihat ‘tiada urusniaga dijalankan’ dan tirai panahan matahari hanya dibuka pada jam 2 petang apabila kedai berkenaan ditutup.

Walaupun masa tutupnya lebih lama daripada masa dibuka dan hanya dikunjungi secara purata 42 pelanggan sebulan, namun Alliance Bank Berhad telah bersetuju meluluskan pinjaman sejumlah RM33.8 juta pada 12 Mei 1998 iaitu enam bulan selepas kedai berkenaan dibuka, tetapi belum dapat dilunaskan sehingga ke hari ini, mungkin sebagai alasan untuk mengelakkan daripada tuduhan Penggubahan Wang Haram.

Untuk apa pinjaman sejumlah RM33.8 juta berkenaan? Hanya Goh dan keluarganya yang tahu dan pegawai yang meluluskan pinjaman berkenaan kini hidup mewah dan menjadi salah satu daripada rangkaian Goh untuk kegiatan ‘Penggubahan Wang Haram’.

Mengikut Penyata Untung Rugi yang berakhir pada 31 Disember 2006, Seng Soon Trading Sdn. Bhd. memperoleh sejumlah RM17.265 juta dan mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sejumlah RM276,033 sahaja.

Dengan hanya mempunyai nilai baki buku bersih harta tetap sejumlah RM487,544, tidak ada seorang pun pakar ekonomi boleh menjamin Seng Soon Trading Sdn.Bhd. boleh bertahan sejak dibuka hampir sepuluh tahun lalu.

Terdapat lebih 35 kedai bebas cukai di Labuan dan adalah tidak mungkin Goh boleh menjadi kaya melalui kegiatan kedai bebas cukai dan amat menghairankan kedainya yang tiada pelanggan ini mencatatkan jualan RM17.3 juta setiap tahun..

Picotex Sdn Bhd

Seorang anak lelaki Goh, Goh Sin Liong dan menantunya, Junita Moguring telah menjalankan perniagaan komputer atas nama Picotec Sdn.Bhd yang mempunyai modal berbayar RM500,000.

Picotex Sdn.Bhd yang menjalankan urusniaga peralatan dan aplikasi komputer yang beroperasi di Lot 44 dan 45, Blok F, Pusat Komersil Jati yang ditubuhkan 11 Mei 1996 dan dimiliki sepenuhnya oleh anak sulung Goh, Goh Sin Liong (Dato’) dan isteri, Junita Moguring, dengan modal masing-masing RM250,000 seorang.

Picotex pernah memohon pinjaman bank sejumlah RM489,000 daripada Alliance Bank Berhad pada 16 Oktober 1996 dan RM900,000 daripada Malayan Banking Berhad pada 24 Julai 2001, namun telah berjaya menyelesaikan semua pinjaman yang dibuat.

Sekalipun pelanggannya boleh dikira dengan jari dan barang dalam kedainya tidak sampai setengah juta, namun berdasarkan Penyata Untung Rugi yang berakhir pada 31 Disember 2006, Picotex telah memperoleh jualan tunai sejumlah RM9.6 juta dan mencatatkan keuntungan selepas cukai sejumlah RM429,788 dan harta tetap Picotex dilaporkan bernilai RM687,215 sahaja.

Picotex telah dikenalpasti menjalankan kegiatan penyeludupan perkakasan komputer dan dadah yang disembunyikan di dalam unit pemprosesan data (cpu) melalui pelabuhan Labuan Liberty tanpa sebarang pemeriksaan kastam kerana menggunakan manifest palsu, namun mereka begitu licik sehingga semua bukti gagal dikesan pihak berkuasa yang malas menguatkuasakan undang-undang sekalipun mesin pengimbas mengesan sesuatu di dalam kompatment komputer.

Deep Throat 1

“Hati-hati. Semua orang dalam koceknya. Kena hati-hati dengan siapa kamu cakap kerana orang dia ramai dan ada di mana-mana,” kata Deep Throat 1 yang memberi amaran apabila Team Malaysia Today berjaya menemuinya di sebuah kawasan perumahan setelah mencarinya selama satu minggu.

Mengikut Deep Throat 1, Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai pernah menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru China yang dianjurkan Goh di rumahnya sedangkan Norian tahu bahawa Goh ada salah seorang Mafia yang menjalankan kegiatan penyeludupan minuman keras, rokok dan dadah.

“Bangku atau meja di rumah berkenaan seperti dalam filem James Bond iaitu dikawal dengan alat kawalan jauh dan akan muncul dari lantai yang lapang jika punat automatik ditekan,” kata Deep Throat 1 yang sempat menyelinap melihat keadaan rumah Goh dengan alasan untuk ke tandas sewaktu datang bersama rombongan Norian ketika beliau bertugas sebagai anggota polis.

Tegas Deep Throat 1, seluruh rumah berkenaan dipasang dengan kamera litar tertutup atau CCTV yang menggunakan teknologi yang canggih dan dapat merakam sebarang pergerakan pada sudut 360 darjah kerana setiap penjuru bumbung rumah mempunyai kamera video dan sistem buzzer yang dipasang boleh dipancarkan terus ke telefon bimbitnya jika diserbu pihak berkuasa.

Deep Throat 2

Manakala Deep Throat 2, seorang mantan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Labuan, mengakui Goh turut memelihara dua ekor anjing garang yang mengawal kawasan rumahnya, tetapi apabila anjing berkenaan menggigit dan mencederakan dua orang pegawai LHDN yang datang membuat pemeriksaan rutin, anjing berkenaan dikurung pada siang hari dan hanya dilepaskan pada jam 6 petang untuk mengawal persekitaran.

“Kes berkenaan ditutup begitu sahaja kerana pengaruh wang. Pegawai tersebut dibayar pampasan dan kini dinaikkan pangkat akibat gigitan anjing bertuah berkenaan,” ujar Deep Throat 2 secara berseloroh tetapi dengan nada serius.

Deep Throat 2 menjelaskan laporan polis yang dibuat mangsa juga telah ditarik balik dan Pesuruhjaya Polis Sabah telah membantu Goh menyelesaikan kes berkenaan secara senyap kerana bayaran tutup mulut yang diberikan amat lumayan.

“Saya tidak tahu nama bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, tapi kawan saya kata yang telah digantung kerja baru-baru ini,” ujar Deep Throat 2 yang berasal dari tanah besar Sabah.

Deep Throat 3

Manakala sumber terdekat dengan Ibu Pejabat Polis Kepayan mengakui seorang pegawai kanan polis pernah menyiasat kegiatan haram Goh, namun pegawai berkenaan segera ditukarkan setelah diberi kata dua yang berupa ugutan kerana disuruh memilih antara wang atau peluru.

Seorang pegawai kanan polis, Deep Throat 3, mengakui Goh pernah datang berjumpa dengan Pesuruhjaya Polis Sabah dan unit siasatan jenayah untuk memberi amaran agar polis tidak mengganggu wilayahnya jika ingin selamat.

“Dia datang bersama seorang lelaki Cina tetapi very low profile. Orang itu, tidak macam Goh yang kelihatan seperti Samseng. Goh kata itu Boss dia,” ujar Deep Throat 3 yang ditemui di Sipitang, Sabah.

Kata Deep Throat 3 lagi, pihaknya telah menerima maklumat daripada Interpol di Hong Kong bahawa Goh salah satu rangkaian penyeludupan terbesar sehingga menerobosi Wilayah China, tetapi gagal dipantau oleh PDRM kerana semua Pesuruhjaya Polis Sabah berada di dalam senarai payroll Goh.

“Pegawai kanan berkenaan ditukar ke Semenanjung Malaysia untuk menjaga keselamatannya dan menghindar gangguan terhadap operasi Goh di Labuan dan Sabah,” ujar Deep Throat 3 lagi.

Antara Goh, Sakaran Dandai dan Deep Throat 4

Tidak siapa menyangka, Goh merupakan rakan paling akrab Tun Sakaran Dandai sejak 1970-an lagi sehingga baru-baru ini Sakaran membantunya mendapatkan dua AP untuk mengimport dua buah kereta mewah, salah satunya digunakan untuk membeli Rolls Royce di Labuan.

Kereta berkenaan jarang berada di jalan raya kerana Goh merasakan ianya lebih selamat diletakkan di bangunan garaj kereta yang membariskan lebih 10 buah kereta mewah pelbagai jenama.

Persahabatan Tun Sakaran dan Goh terlalu rapat sehingga Goh dikurniakan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) ketika Tun Sakaran menjadi Yang Di Pertua Negeri Sabah.

Anak Tun Sakaran, Datuk Nasir telah bersetuju merasmikan kedai computer anak Goh di Tingkat 2, Kompleks Karamunsing iaitu cawangan kedua Picotex Sdn.Bhd. selain yang beroperasi di Kedai Jati, Labuan tanpa menyedari Picotex sebenarnya terlibat dengan kegiatan penyeludupan dadah yang disembunyikan di dalam kotak pemprosesan data (CPU).

“Goh telah menderma RM300,000 untuk Yayasan Sabdi (Sakaran Bin Dandai) dan dikurniakan pingat P.G.D.K,” ujar Deep Throat 4 yang pernah menjadi kakitangan Istana di era Tun Sakaran.

Kata Deep Throat 4, kali ini Goh menderma lebih RM1 juta kepada Yayasan Tun Ahmad Shah iaitu bagi melobi pingat tertinggi negeri Sabah iaitu Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Hubungan rapat dengan rakan kongsi perniagaannya, Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Kastam Sabah, Md Yusof Haji Mansor telah membuatkan Goh bermurah hati melobi pingat P.G.D.K untuk dua rakannya kerana mereka tidak mempunyai jasa yang besar kepada negeri Sabah kerana terlibat dengan Skandal Mafia yang diketuai Goh.

“Derma RM 1 juta berkenaan disampaikan Goh kepada Pengerusi Yayasan Tun Ahmad Shah, Datuk Haji Iskandar Malik Janggat,” ujar Deep Throat 4 sebagai imbalan untuk pengurniaan pingat kepada Goh dan dua orang rakannya.

Tiada ulasan: