HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Disember 2007

Subsidi minyak, gimik pilihan raya Umno-BN
Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kerajaan digesa mencari mekanisma yang berkesan untuk menampung subsidi minyak negara agar rakyat tidak lagi terbeban dengan kenaikan harga minyak saban tahun walaupun harga minyak di pasaran dunia meningkat.

Satu mekanisma lain harus difikirkan kerajaan, seperti mempromosikan penggunaan bio-diesel, menaikkan kadar cukai pendapatan, menaikkan kadar cukai import kereta mewah, menaikkan kadar cukai jalan bagi kereta mewah dan cukai-cukai lain yang berkaitan dengan kenderaan mewah yang digunakan di Malaysia.

Sedia maklum, Malaysia merupakan negara pengeksport minyak mentah seharusnya tidak terkesan dengan kenaikan harga minyak mentah dunia, malah ianya memberi pulangan yang lebih baik kepada negara.

Bahkan, keuntungan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), syarikat yang diamanahkan untuk mengusahakan industri petroleum negara, meningkat berkali ganda akibat keuntungan dari kenaikan harga minyak mentah dunia.

Misalnya, keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 berjumlah RM76.3 bilion merupakan yang tertinggi dalam sejarah.

Hasil keuntungan tersebut, sejumlah RM 48.3 bilion disumbangkan Petronas kepada kerajaan dalam bentuk cukai, dividen, royalti dan eksport duti.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2006, keuntungan sebelum cukainya berjumlah RM 70.2 bilion, 21 peratus lebih tinggi berbanding RM 58 bilion pada tahun 2005.

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sehingga tahun 2006, Petronas telah membayar RM 287 bilion kepada kerajaan.

Malangnya, limpahan keuntungan itu tidak digunakan untuk membantu rakyat secara keseluruhannya.

Cadangan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menghalusi sistem subsidi sedia ada dan mensasarkan kepada golongan yang benar-benar layak dipersetujui motifnya, tetapi diragui pelaksanaannya.

Menurut satu laporan di sebuah akhbar tempatan, Abdullah percaya pendekatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menentukan kadar bayaran menerusi kadar penggunaan adalah lebih adil dan dapat mencapai sasarannya.

Justeru, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kenyataannya, meragui cara perlaksanaan mekanisma tersebut, memandangkan kadar penyelewengan diesel subsidi yang tinggi, walaupun dikawal dengan prosedur yang ketat.

AMK menyarankan supaya kadar subsidi untuk rakyat disamaratakan, tanpa mengira bangsa, kedudukan dan pangkat.

"Keadilan harus diberi kepada semua lapisan rakyat, tanpa prejudis," demikian menurut Exco AMK, Hasmuzair Hassan .

Menurut beliau, Abdullah semasa memberi penerangan kepada 5000 pemimpin parti komponen BN mengenai isu-isu semasa mengatakan kerajaan tidak boleh menggunakan keuntungan Petronas bagi membayar subsidi minyak kerana Petronas perlu menggunakan semula keuntungan untuk membuat pelaburan di luar negara.

Tegasnya, jika dakwaan Abdullah ini benar, AMK mencabar Abdullah membentangkan penyata akaun Petronas kepada rakyat untuk dinilai.

Yang nyata kata beliau, wang Petronas digunakan untuk membiayai projek-projek mega pemerintah seperti Putrajaya dan MSC (RM 22 bilion), KLIA ( 1.8 bilion), Litar Sepang F1 (RM 286 juta), MAS (RM 668 juta) dan banyak lagi.

"Bila rakyat terbanyak menagih sumbangan Petronas, macam-macam alasan yang digunakan oleh pihak pemerintah. Kenaikan harga minyak di dalam negara akan menjadi pemangkin kepada kenaikan harga barangan keperluan harian, sekaligus meningkatkan kadar inflasi di negara ini," tegasnya.

Dengan pendapatan yang berada atas sedikit dari Garis Kemiskinan, katanya, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat.
"Ini akan mendorong kepada peningkatan jenayah dan gejala sosial," tambah Hasmuzair.

Justeru, AMK menggesa Petronas menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat, menggesa kerajaan pimpinan Abdullah Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak untuk menurunkan harga minyak pada kadar yang berpatutan dan munasabah. - mks.

Tiada ulasan: